Jul 24, 2011

Mendidik anak berakhlak mulia

Mendidik anak berakhlak mulia

Ibubapa diamanahkan Allah supaya mendidik anak-anak menunaikan perintah agama. Anak-anak hendaklah dibentuk atau dididik menghayati ajaran islam dengan sempurna, supaya mereka menjadi muslim  dan mukmin yang sempurna. Anak-anak yang dididik sedemikian tidak akan membebankan ibubapa dan penjaga dengan pelbagai masalah. 

Sebaliknya, anak-anak yang tidak dididik menurut acuan Allah, ibubapa akan menerima dosa dan berbagai bebanan hidup seperti perasaan tidak tenteram dan sebagainya. Kadang-kadang nyawa mereka diancam oleh anak, akibat tingkahlaku yang menyimpang daripada ajaran agama yang sebenar.

Justeru yang bertanggungjawab dalam mencorak pendidikan anak-anak adalah ibubapa. Merekalah yang diamanahkan oleh Allah untuk memberi didikan terhadap anak-anak. Sudah barang pasti, bahawa ubat yang paling mujarab untuk mencegah dan manjauhi manusia daripada berbagai jenayah dan kemungkaran tidak lain daripada didikan agama yang bermula daripada kecil dan sehingga ke akhir hayat. Latihlah mereka melakukan perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah, sabda Rasulullah saw:

إحرص على ما ينفعك واستعن بالله ولا تعجز

Maksudnya: "Rebutlah perkara yang boleh memberi manfaat kepada kamu dan mohonlah pertolongan  Allah dan janganlah engkau bersikap lemah."

Begitu juga, iIbubapa wajib memastikan anak-anak berakhlak mulia dengan dimulai dengan ajaran solat berjamaah. Solat adalah asas akhlak yang baik. Solat jamaah adalah satu cara dan disiplin yang efektif untuk ikatan kekeluargaan dan mengeratkan kemesraan antara sesama ahli keluarga.

Ibubapa juga perlu mendidik anak-anak adab pergaulan dan menutup aurat. Janganlah biarkan mereka bergaul bebas tanpa ada sebarang pengawasan oleh pihak ibubapa. Janganlah dibiarkan anak-anak lelaki dan perempuan tidur bersama terutama apabila sudah mencapai usia 10 tahun.

Selain daripada itu ibubapa wajib memberi perhatian dan mengambil tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak samada dari aspek bahan bacaan, kegemaran dan kawan-kawan mereka.serta aktiviti mereka dimasa lapang.

Bak kata tidak cukup sekiranya ibubapa hanya memberikan pelajaran di sekolah, kolej  atau universiti sahaja, sebenarnya perkara yang berkaitan dengan akhlak, pekerti yang mulia dan kemahiran, adab-adab dan sebagainya perlu dititikberatkan oleh ibubapa. Sebenarnya sekolah dan pusat pengajian hanya mampu memberi maklumat dan ilmu akademik sahaja, manakala ilmu akhlak secara praktikal perlulah dititik beratkan oleh ibubapa terhadap anak-anak agar keseimbangan berlaku dalam diri anak-anak.

Ramai di kalangan anak-anak yang hebat pencapaian akademik tetapi gagal dalam amalan akhlak mereka dalam kehidupan seharian, apabila dewasa mereka rasa serba salah dan tak pandai menyesuaikan diri contohnya dengan mertua, saudara mara, ipar-duai, dan ada juga yang anak perempuan yang malas dan tak pandai dengan kerja didapur. 

Bagaimana pandangan mertua sekiranya mendapat menantu perempuan yang seperti ini? Alamatnya semakin lama semakin rengganglah hubungan antara mereka berdua. Inilah hasilnya kerana kita bersikap alpa terhadap pendidikan akhlak dan sosial terhadap anak-anak.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Template by:

Free Blog Templates