Bak Cahaya Terang: Kelahiran Yang Dinanti
Kegelapan dunia Arab yang diselubungi penyembahan berhala, pemujaan binatang dan alam semesta, juga permusuhan kaum yang tiada kesudahan seolah-olah menantikan kelahiran sebutir bintang yang akan menyinari bumi Arab.
Bintang yang akan membawa cahaya hidup beragama yang suci dan luhur, juga membawa peraturan hidup yang lengkap bagi sebuah masyarakat yang harmoni dan saling berkasih sayang antara satu sama lain.
Justeru, dengan kehendak Allah Yang Maha Suci, telah tercatat dalam perjalanan hidup seorang hamba yang paling dikasihi iaitu Muhammad Rasul Teragung, kelahiran penuh berkat yang dinanti-nanti daripada perkahwinan dua insan yang mulia, Abdullah bin Abdul Mutalib dan Aminah binti Wahab dari kaum Quraisy.
Diriwayatkan oleh Muslim dengan sanadnya, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam:
“Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah di antara anak-anak Ismail, dan dipilihnya Quraisy dan Kinanah, dan dipilihnya Hashim dan Quraisy dan dipilihnya saya dari Bani Hashim”.Abdul Mutalib ialah pembesar Mekah. Beliau dihormati oleh seluruh penduduk Mekah disebabkan sifat mulia beliau. Abdul Muttalib adalah penjaga telaga zam zam yang mana pada setiap musim haji, Abdul Mutalib akan menyediakan minuman kepada para haji yang datang ke Mekah.
Amanah mulia ini diwarisi daripada ayah beliau Hasyim bin Abdu Manaf iaitu orang yang mula-mula sekali memberi makanan dan minuman kepada para haji. Hasyim jugalah orang yang mula-mula memulakan perjalanan dagang kafilah pada musim panas dan sejuk. Setelah lama berlalu, Abdul Mutalib pula diamanahkan meneruskan tanggungjawab mulia daripada ayah beliau itu. Sesungguhnya kerja yang dilakukan Abdul Mutalib ini amat mulia kerana memudahkan urusan keperluan para haji. Justeru, Abdul Mutalib disanjung dan dikenali sebagai salah seoarng pemimpin Mekah yang dihormati. Kota Mekah juga begitu masyhur ke seluruh pelusuk tanah Arab. Pelbagai kaum datang ke Mekah untuk menjalankan perniagaan dan juga menunaikan ibadat haji.
Abdul Mutalib mempunyai 10 orang anak lelaki iaitu al-Harith, al-Zubair, Abu Talib, Abdullah, Hamzah, Abu Lahab, al-Ghaidaaq, al-Miqwam, Saffar dan al-‘Abbas. Abdul Mutalib juga mempunyai enam orang anak perempuan iaitu al-Bayda’, Barrah, ‘Atikah, Safiyyah, Arwaa dan Umaimah.
Abdullah bin Abdul Muttalib
Abdullah ialah anak lelaki Abdul Mutalib dari isterinya yang bernama Fatimah binti ‘Amru. Abdullah ialah anak yang paling disayangi Abdul Mutalib kerana sifat peribadi Abdullah yang lemah lembut, menghormati orang tua dan sopan santun.
Abdullah disukai ramai sehingga ramai anak-anak gadis teringin menjadi isteri Abdullah. Orang-orang tua selalu merisik khabar bertanyakan Abdullah kerana mereka berangan-angan ingin menjadikan Abdullah menantu mereka.
Abdul Mutalib bernazar jikalau beliau mendapat 10 orang anak lelaki, beliau akan mengorbankan salah seorang anak beliau. Abdul Mutalib menceritakan nazarnya kepada anak-anaknya. Anak-anak Abdul Mutalib mengikut sahaja kata-kata ayah mereka.
Suatu hari, Abdul Mutalib telah menulis nama kesemua anak lelaki beliau pada anak panah dan diberikan kepada berhala Hubal. Apabila digoncang anak panah itu, maka nama yang keluar ialah Abdullah.
Lantas, untuk menunaikan nazarnya, Abdul Mutalib telah mengambil pisau dan membawa Abdullah ke Kaabah untuk disembelih.
Orang-orang Quraisy telah menghalang Abdul Mutalib berbuat demikian terutamanya bapa saudara Abdullah sebelah ibunya dari kalangan Bani Makhzum iaitu al-Mughirah bin Abdullah al-Makhzumi dan saudaranya sendiri Abu Talib. al-Mughirah bin Abdullah al-Makhzumi khuatir jikalau apa yang dilakukan Abdul Mutalib itu akan menjadi adat yang akan diikuti masyarakat Arab selepas itu.
Setelah dihalang, Abdul Mutalib telah berkata; “Lalu apa yang perlu aku lakukan dengan nazarku?” Lalu mereka mencadangkan Abdul Mutalib supaya bertemu seorang tukang tilik wanita di Khaibar untuk meminta nasihatnya.
Tukang tilik wanita itu menyuruh Abdul Mutalib menulis nama “Abdullah” pada satu anak panah satu anak panah lagi ditulis dengan “10 ekor unta”. Jika nama yang keluar ialah Abdulah, maka hendaklah ditambah dengan 10 ekor unta lagi. Jika yang keluar ialah unta, maka hendaklah disembelih unta-unta itu.
Abdul Mutalib lantas mengikut apa yang dikatakan tukang tilik wanita itu. Namun, apabila dicabut anak panah, yang keluar ialah nama Abdullah. Lalu Abdul Mutalib pun menambah jumlah unta sebanyak 10 ekor lagi.
Itulah yang berlaku sehingga jumlah unta genap 100 ekor, di mana selepas itu barulah keluar anak panah yang tertulis “10 ekor unta”. Lalu unta-unta tersebut disembelih sebagai ganti Abdullah. Lalu terselamatlah Abdullah daripada menjadi mangsa sembelihan Abdul Mutalib. Nabi Muhhamd pernah berkata: “Aku ialah keturunan dua orang yang disembelih iaitu Ismail dan Abdullah.”
Abdullah Mutalib telah meninggalkan semua unta-unta yang disembelih tanpa menghalang sesiapa yang mahu mengambil daging unta-unta sembelihan itu samada manusia ataupun binatang buas.
Abrahah mahu meruntuhkan Kaabah
Pada tahun yang sama, sebelum kelahiran Nabi Muhammad, telah berlaku satu peristiwa besar iaitu Abrahah al-Asyram dan tenteranya menuju ke Mekah dengan niat hendak meruntuhkan Kaabah. Abrahah al-Asyram adalah seorang Nasrani dari Habsyah. Beliau ialah pembantu kepada kepada Raja Najasyi di Yaman.
Abrahah iri hati melihat Mekah dikunjungi ramai. Suatu hari Abrahah telah membina sebuah gereja yang dinamakan al-Qalis di San’aa, ibu kota Yaman. Abrahah bercita-cita agar peduduk tanah Arab mengunjungi Yaman untuk beribadat di gereja al-Qalis itu.
Abrahah berharap langkah ini dapat mengalihkan tumpuan bangsa Arab dari Kaabah ke gereja yang dinamakan ' Al-Qalish'. Malangnya percubaan itu tidak berjaya malah semakin ramai orang Arab mengunjungi Kaabah yang dibina oleh Nabi Allah Ibrahim a.s..
Diceritakan bahawa pada suatu hari, seorang lelaki dari kaum Kinanah telah memasuki al-Qalis dan telah membuang najisnya di situ. Apabila kejadian ini sampai ke pengetahuan Abrahah, beliau sangat marah kerana merasakan ianya satu penghinaann kepada al-Qalis yang dibanya itu. Abrahah mula merasakan bahawa al-Qalis tidak dapat menandingi Kaabah. Akhirnya Abrahah mengambil keputusan untuk membawa bala tenteranya yang bergajah untuk meruntuhkan Kaabah dengan harapan orang-orang Arab tidak akan ke Mekah lagi jika Kaabah telah musnah.
Abarah dengan sangat marah mengarahkan panglima perang menyediakan satu bala tentera seramai 60 ribu orang. Persiapan peperangan dibuat dan tujuan mereka ialah ke Mekah untuk menghancurkan Kaabah.
Tentera Abrahah menunggang gajah sebanyak 30 ekor. Abrahah sendiri menunggang seekor gajah yang besar dan kuat bernama Mahmud. Berita pemergian Abrahah ke Mekah telah sampai ke pengetahuan orang ramai.
Tentera Abrahah menunggang gajah sebanyak 30 ekor. Abrahah sendiri menunggang seekor gajah yang besar dan kuat bernama Mahmud. Berita pemergian Abrahah ke Mekah telah sampai ke pengetahuan orang ramai.
Bagaimanapun dalam perjalanan mereka ke Mekah, terdapat beberapa kabilah Arab yang cuba menghalang kemaraan tentera Abrahah tetapi tidak berjaya. Mereka tidak mampu menghalang pasukan tentera Abrahah yang gagah itu.
Masyarakat Arab yakin Kaabah mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah s.w.t.. Mereka terdidik sejak kecil supaya memuliakan Rumah Allah itu. Kini mereka tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan Kaabah kecuali berserah sahaja kepada Allah s.w.t..
Apabila tentera bergajah pimpinan Abrahah telah hampir ke Kota Mekah, mereka bersiap sedia hendak menggempur Kaabah. Semua gajah yang ditunggangi dihalakan di Kaabah tetapi gajah-gajah itu duduk dan enggan bergerak walaupun telah dipukul.
Kemudian gajah itu dihalakan ke Yaman. Bagaimanapun semuanya lari pulang menuju arah selatan. Dalam keadaan yang kelam kabut itu, Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa ke atas sekalian alam telah mengutuskan sejumlah burung dengan membawa batu dimuncung masing-masing.
Batu-batu itu apabila sahaja dilemparkan ke atas musuhnya akan membakar seluruh badan sehingga hangus.
Tentera-tentera Abrahah lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri tetapi kesemuanya mati ditengah jalan.
Abrahah juga menerima nasib yang sama apabila badannya gugur sedikit demi sedikit sebelum mati di dalam keadaan seperti dedaun yang dimakan oleh ulat.
Dengan musnahnya tentera Abrahah, kecintaan masyarakat Arab terhadap Kaabah semakin meningkat. Peristiwa itu menggambarkan kebesaran Allah s.w.t. dan tanda munculnya nabi akhir zaman. Sempena kejadian bersejarah itu, masyarakat Arab menamakan tahun tersebut sebagai "Tahun Gajah" ('Am al-Fiil).
Perkahwinan Abdullah dan Aminah
Abdul Mutalib telah memilih Aminah sebagai isteri Abdullah. Aminah berasal daripada keturunan mulia dan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat Arab. Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah.
Setelah berkahwin, tinggallah Aminah bersama Abdullah di Mekah. Perkahwinan Abdullah membuka suatu lembaran baru dalam kehidupan Abdullah dan rumahnya diterangi kegembiraan dengan kehadiran Aminah, isteri yang dicintai.
Beberapa bulan selepas perkahwinannya, Abdul Mutalib telah mengarahkan Abdullah ke Madinah untuk membeli bekalan perniagaannya. Sebagai anak yang baik, Abdullah mengikut kata-kata bapanya Abdul Mutalib.
Abdullah telah mengikuti kafilah dagang yang berniaga ke Syam. Sekembalinya dari Syam, Abdullah singgah di Yathrib (Madinah) kerana menziarahi saudara sebelah ibunya. Sewaktu persiapan pulang ke Mekah sedang diuruskan, Abdullah telah jatuh sakit secara tiba-tiba.
Kafilah dagang kembali ke Mekah meninggalkan Abdullah yang dirawat di Madinah. Abdul Mutalib menerima berita keuzuran Abdullah dengan perasaan cemas.
Abdul Mutalib mengarahkan anak sulungnya Harith, menjemput Abdullah. Bagaimanapun, kedatangan Harith terlewat kerana Abdullah telah meninggal dunia sebelum sempat ia menemuinya. Abdullah telah dikebumikan oleh sanak saudaranya di Dar an-Nabigahh al-Ja’di. Pada ketika itu, Abdullah berusia 25 tahun.
Ketika Abdullah bin Abdul Mutalib meninggal dunia, dia baru tiga bulan berkahwin dengan Aminah, isteri yang dikasihinya. Aminah ketika itu pula sedang mengandung dua bulan. Abdullah meninggalkan harta iaitu 5 ekor unta, beberapa ekor kambing, dan seorang hamba berbangsa Habsyi bernama Barokah yang lebih dikenali sebagai Ummu Aiman.
Aminah merasa sangat sedih apabila mendengarkan berita kematian suaminya. Sayu hatinya mengenangkan bahawa sudah tentu bayi yang akan dilahirkan itu tidak berpeluang melihat wajah ayahnya. Mengenangkan Abdullah, Aminah telah bersyair;
“Hilang sudah putera Hasyim
Bertandang lahad yang jauh dalam ratap tangis
Panggilan maut memanggil lantas disahutnya
Yang tidak meninggalkan seumpama putera Hayism di kalangan manusia
Petang hari mereka mengusung kerandanya
Oleh teman yang berasak-asak
Jika benar kematian dan dukacita itu perampas dirinya
Namun dia tetap terpahat sebagai dermawan dan pengasih”
Jiwa Abdul Mutalib juga tersiksa dengan kematian Abdullah, anak yang paling disayanginya. Beliau yang pernah mengorbankan seratus ekor unta semata-mata mahu menebus nyawa anaknya itu ternyata tidak ada suatu pun yang boleh menebus nyawa seseorang apabila sampai waktu ajalnya.
Kelahiran Insan Agung
Aminah menunggu dengan sabar saat kelahiran bayinya, bayi yang akan membawa rahmat untuk sekalian alam. Abdul Mutalib pula lebih banyak menghabiskan masa di Kaabah dari di rumahnya.
Selepas menerima kematian suaminya, Aminah sentiasa berdoa. Dia berdoa biarlah bayi yang dikandungnya itu menjadi anak yang baik dan berguna. Semoga bayi itu dapat menggantikan ayahnya apabila besar nanti.
Maka, pada hari Isnin tanggal 12 Rabiul Awwal bersamaan 20 April 571 Masehi, Aminah pun melahirkan seorang bayi lelaki tanpa rasa sakit. Aminah amat gembira melihat anaknya itu. Kelahiran anak lelaki yang comel itu menjadi penawar hatinya. Aminah dibidan oleh Syifa’ iaitu ibu Abdur Rahman bin Auf.
Ketika dilahirkan keadaan tangan bayi itu melekap ke bumi, mukanya mendongak ke langit dan sudah berkhatan. Pada masa yang sama api sembahan agama Majusi di Rom dan Parsi telah terpadam.
Tentang kelahiran baginda, ibu baginda Aminah menceritakan:
“Aku tidak pernah mengalami kesulitan sepanjang mengandungkannya sehinggalah aku melahirkannya. Sebaik sahaja keluar dari rahimku, anakku itu diterangi cahaya yang sangat bersinar sehingga menerangi timur dan barat, kemudian dia duduk sambil menongkat kedua tangannya, kemudian digenggamnya sekepal tanah lantas mendongakkan kepalanya ke langit. Anakku itu juga dilahirkan sudah terpotong tali pusat dan juga sudah berkhitan.”
Berita gembira itu segera disampaikan kepada Abdul Mutalib yang berada di Kaabah. Abdul Mutalib sungguh gembira menerima kehadiran seorang cucu lebih-lebih lagi cucu lelaki hasil dari zuriat anak kesayangannya. Abdul Mutalib bergegas pulang untuk melihat cucunya itu.
Abdul Mutalib mendapatkan menantunya lalu bertanya khabar, "Apa khabar kau Aminah, anakku?". "Khabar baik, ayah. Saya selamat dan anak saya juga selamat". Jawab Aminah dengan gembira.
"Jika kau rasa sakit, cakaplah. Nanti ayah ambilkan air zamzam untuk dijadikan penawar". Kata Abdul Mutalib.
"Saya tidak merasa sakit apa-apa ayah. Tidak sedikit pun. Anak itu lahir seperti rasa angin yang lembut sahaja. Tidak ada rasa sakit", jelas Aminah.
"Oh, begitu sekali. Tentulah cucuku ini bayi yang istimewa. Kanak-kanak yang dipelihara Tuhan Kaabah. Semasa kau mengandung, kau juga tidak merasa apa-apa". Kata Abdul Mutalib. Dia mengambil cucunya lalu diribanya.
Abdul Mutalib amat hairan melihat cucunya itu. Muka cucunya itu bersih, putih kemerah-merahan dan bercahaya. Cahaya terang benderang bagai bulan purnama. Seluruh tubuh badannya bersih. Tidak ada kesan darah, lendir atau kotoran. Abdul Mutalib faham yang cucunya itu bukan sebarang bayi. Dia mencium pipi cucunya dengan rasa penuh kasih sayang.
"Ayah hendak bawa bayi ini tawaf di Kaabah". Kata Abdul Mutalib kepada Aminah.
"Silakan, ayah. Biarlah dia menerima berkat daripada Tuhan Kaabah". Kata Aminah lembut.
Abdul Mutalib mendukung cucunya itu lalu dibawa ke Kaabah. Di situ, dia membawa cucunya tawaf keliling Kaabah sebanyak tujuh kali.
Kemudian dengan penuh rasa syukur Abdul Mutalib berkata, "Aku namakan engkau dengan nama Muhammad yang bererti "Yang terpuji'". Sebelum ini nama Muhammad tidak pernah digunakan oleh sesiapapun. Abdul Mutalib menunjukkan cucunya kepada orang ramai dan mengumumkan namanya.
Seterusnya Abdul Mutalib berkata, "Aku ingin Muhammad menjadi orang yang terpuji di sisi tuhan di langit dan di bumi". Pada hari ketujuh selepas kelahiran Muhammad, dia telah mengorbankan seekor unta dan menjamu para pemimpin Quraish.
Pada masa Abdul Mutalib membawa cucunya itu, Aminah teringat kembali. Sebelum ini, dia beberapa kali terdengar bunyi suara meminta dia menjaga kandungannya dengan baik. Menurut suara itu, bayi itu akan menjadi pemimpin dunia dan akhirat.
Aminah menjaga Nabi Muhammad s.a.w. yang masih bayi itu dengan penuh kasih sayang dan sempurna. Dia dibantu oleh seorang pengasuh bernama Barokah yang lebih dikenali dengan nama Ummu Aiman. Sejak Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan, Aminah yang menyusukannya tetapi tidak lama.
Tidak lama selepas itu, Nabi Muhammad s.a.w. diserahkan kepada Halimah Saadiah dari keluarga Bani Saad untuk disusui. Adalah menjadi adat bagi golongan bangsawan Quraish menyerahkan anak yang baru lahir untuk disusui supaya anak itu tahan lasak menempuh segala rintangan.
0 comments:
Post a Comment