Aug 16, 2011

Dakwah di Taif & Rasulullah meminta bantuan perlindungan Kafir

Dakwah di Taif



 Kesedihan yang menyelubungi Nabi Muhammad saw setelah kematian isteri tersayang, Khadijah dan bapa saudara baginda Abu Talib, berterusan apabila kaum Musyrikin Mekah menentang baginda dengan lebih giat lagi.

Namun, Nabi Muhammad saw menempuh kesedihan itu dengan penuh kesabaran. Baginda sedar bahawa segala dugaan dan cabaran itu adalah kerana Allah sayangkan baginda.

Setelah beberapa ketika, Rasulullah mengambil keputusan untuk berdakwah di Taif. Taif terletak di  bahagian tenggara Mekah. Kabilah Tsaqif menghuni Taif sejak beberapa lama.

Baginda mengharapkan agar Bani Tsaqif dapat menerima seruan dakwah dan membantu baginda kerana kedudukan bani Tsaqif yang paling hampir dengan kota Mekah. Selain daripada itu, baginda juga mempunyai hubungan keluarga sebelah ibu dengan mereka.

Ini adalah kerana ibu kepada Hasyim bin Abdu Manaf iaitu ’Atikah berasal daripada keturunan Bani Salim yang juga keluarga kepada Bani Tsaqif.

Rasulullah SAW  berpakat bersama pembantunya Zaid bin Haritsah berjalan kaki ke Taif. Jarak antara Mekah dan Taif ialah 1609 batu. Mereka berjalan dengan penuh kepayahan menempuh perjalanan yang jauh itu.
         
Mereka berjalan menempuh panas terik matahari. Hawa panas padang pasir tidak sedikit pun menggoyahkan semangat mereka. Keimanan adalah sebaik-baik bekalan hati dan jiwa mereka pada saat itu.
         
Sebaik sahaja tiba di Taif, Rasulullah SAW  bersama  Zaid bertemu dengan tiga orang pemimpin Bani Thaqif iaitu Abdu Yalail, Mas’ud dan Habib yang semuanya adalah anak kepada ‘Amru bin Umair al-Thaqafi.

Namun, alangkah sedihnya kedatangan Rasulullah  SAW  tidak mendapat sambutan baik dari mereka bertiga. Mereka menerangkan kebaikan dan kebenaran Islam. Dengan penuh penghinaan mereka menghamburkan kata-kata:

“Allah telah mengoyakkan tirai Kaabah jika engkau diutus sebagai nabi”, “Tak ada orang lainkah untuk diutus oleh Allah selain engkau?” dan “Demi Allah aku tak hendak bercakap dengan engkau, sekiranya kau seorang utusan Allah, maka kau adalah lebih berbahaya untuk ku menjawab persoalan kau itu, dan sekiranya kau berdusta, maka tidak seharusnya bagiku menjawab persoalan itu.”
          Rasulullah  SAW dan Zaid agak terkejut dengan kata-kata mereka itu. Namun mereka tetap bersabar. Rasulullah telah berpesan seraya berkata kepada mereka bertiga: 

“Wahai anak2 Amru, tidak mengapa jika kamu tidak ingin menyahut seruanku akan tetapi hendaklah kamu diam”, pesan Rasulullah agar tidak memberitahu kedatangan baginda kepada pihak Quraisy.

Rasulullah khuatir jika Quraisy mengetahuinya, sudah pasti mereka akan memperhebatkan lagi siksaan ke atas orang-orang Islam di Mekah.


Bani Tsaqif tidak bermusuhan dengan pihak Quraisy. Jadi, pada mulanya Rasulullah  menyangka jika Bani Tsaqif dapat menerima dakwah Rasulullah, maka pihak Quraisy tidak akan menyiksa mereka lagi. Namun, Rasulullah tetap bersabar walaupun  dakwah mereka tidak diterima oleh penduduk Taif.

Namun, Rasulullah SAW terus bertahan sampai 10 hari. Selama 10 hari itu, pelbagai tohmahan dan cercaan mereka terima. Ada yang mengatakan bahawa Rasulullah adalah penipu dan ahli sihir. Penduduk Taif menghalau Rasulullah SAW keluar daripada Taif.
         
Semasa  Rasulullah  SAW mahu keluar dari bandar itu, penduduk Taif telah menghantar orang-orang bodoh dan kanak-kanak. Mereka beramai-ramai telah melemparkan batu dan dahan-dahan pokok ke arah Rasulullah SAW dan Zaid.

Rasulullah menyuruh Zaid bertahan. Namun, Zaid tidak dapat bertahan apabila banyak batu-batu mengenai badan dan kaki Rasulullah SAW sehingga tumit Rasulullah SAW berdarah. Darah begitu banyak mengalir dari kaki mulia Rasulullah SAW .

Namun, sekali lagi Rasulullah SAW  menyuruh Zaid bersabar dan tidak melakukan apa-apa terhadap penduduk Taif.
         
Sesungguhnya kesedihan Rasulullah SAW terhadap penduduk Taif melebihi kesakitan  pada kakinya. Baginda sedih kerana mereka sedikit pun tidak mahu menerima dakwah baginda.
         
Kemudian,  Rasulullah SAW dan Zaid berhenti rehat di bawah sebatang pokok anggur yang rendang. Pokok itu terletak bersebelahan kebun kepunyaan ‘Utbah dan Syaibah, kedua-dunya ialah anak Rabi’ah yang merupakan seorang yang memusuhi baginda. Pada ketika itu, kedua-dua mereka ada di kebun itu. Melihatkan mereka berdua, Rasulullah berdoa;
اَلْلَّهُمَّ إِلَيْكَ أَشْكُوْ ضِعْفَ قُوَّتِيْ
وَقِلَّةَ حِيْلَتِيْ، وَهَوَانِيْ عَلَى النَّاسِ...
أَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِيْنَ...
أَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِيْنَ...وَأَنْتَ رَبِّيْ..
إِلَى مَنْ تَكِلَنِيْ؟؟
إِلَى بَعِيْدِ يَتَجَهَّمُنِيْ...؟ أَمْ إِلَى عَدُوٍّ مَلَكْتَهُ أَمْرِيْ..؟
إِنْ لَمْ يِكُنْ بِكَ غَضَبٌ عَلَيَّ فَلَا أُبَالِيْ..
غَيْرَ أَنَّ عَافِيَتَكَ هِيَ أَوْسَعَ لِيْ..
أَعُوْذُ بِنُوْرِ وَجْهِكَ الَّذِيْ أَشْرَقَتْ لَهُ الظُّلُمَاتِ
وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ أَنَّ اِنْ يَحِلَّ عَلَيَّ غَضَبُكَ
أَوْ إِنْ يَنْزِلُ بِيْ سَخَطُكَ..
لَكَ حَتَّى تَرْضَىْ...
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِكَ..

Maksudnya: “Tuhanku kepada Dikau ku mengadu hal keletihan tenagaku, kekurangan
 helahku, kehinaanku di hadapan manusia, wahai Maha Penyayang Lagi Kasihan belas. Dikaulah Tuhan golongan lemah dan dhaif. Dikaulah Tuhanku, kepada siapa lagi yang hendak ku menyerah? Apakah kepada orang yang jauh membenci daku ? atau kepada seteru yang telah Kau beri kuasa mengatasi daku? Kiranya tiada kemarahan Kau ke atasku, tidaklah kupeduli, namun afiat dariMu lebih luas bagiku, ku berlindung dengan cahayaMu. Dikaulah yang menerangi kegelapan, dengannya urusan di dunia dan di akhirat menjadi baik, aku berlindung denganMu dari terturunnya ke atasku kemurkaanMu, atau terturun kemarahanMu, bagi kau jua tempat kembalinya hingga tercapai keredhaanMu, tiada daya dan upaya kecuali denganMu Ya Tuhan.”

Apabila ‘Utbah dan Syaibah melihatkan Rasulullah, mereka berasa kasihan. Lalu mereka menghantar seorang hamba Nasrani bernama ‘Addas membawa sebekas  anggur kepada Rasullah.

“Pergilah engkau membawa anggur anggur ini kepada mereka berdua di sana itu.” Perintah ‘Utbah kepada hamba Nasrani itu yang bernama ‘Addas.

Baginda amat gembira kerana ada juga penduduk Taif yang mengasihani mereka. Baginda mengucapkan terima kasih kepada ‘Addas.

Ketika baginda mahu memakan anggur itu, baginda mengucapkan “Bismaillahir Rahmaanir Rahim” lalu baginda menyuapkan anggur itu ke mulut baginda.

Apabila ‘Addas mendengarkan ucapan baginda itu, ‘Addas berasa hairan lalu berkata: “Kalimah yang kau ucapkan itu tidak dituturkan oleh penduduk negeri ini”.

Lalu Rasullullah bertanya kepadanya: “Kamu datang dari negeri mana dan apa agama anutan kamu?”

Lalu ‘Addas menjawab: “Aku penganut agama Nasrani dan aku berasal dari negeri Ninawa (sebuah negeri di Iraq).”

Baginda bertanya lagi: “Kau dari negeri seorang soleh bernama Yunus bin Mataa”.

Lalu ‘Addas bertanya: “Apa yang kau tahu tentang Yunus bin Mataa?”

Rasulullah menjawab:

“Dia itu saudaraku. Dia ialah seorang nabi dan aku juga seorang nabi!”.

Lalu Rasulullah membaca ayat al-Quran surah Yunus yang menceritakan perihal Nabi Yunus.

Mendengarkan itu, ‘Addas berasa begitu takjub lalu mengucup kepala, tangan dan kaki Rasulullah. Lalu ‘Addas memeluk Islam di situ juga.

Kemudian Addas kembali mendapatkan tuannya Utbah dan Syaibah lalu Addas dimarahi kerana memuliakan Rasulullah.

Mereka berkata:

“Celaka kau wahai Addas, kenapa kau mengucup kepala, tangan dan kaki lelaki itu?”

Lalu ‘Addas menjawab:

“Wahai tuanku, tiada apa di dunia ini yang terlebih baik daripada apa yang aku lakukan tadi kerana sesungguhnya lelaki itu telah mengkhabarkan kepadaku perkara yang tidak diketahui manusia biasa kecuali oleh seorang Nabi!”

Selepas itu, dengan izin Allah, Jibril datang lalu berkata: “Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah memerintahkan aku agar mentaati kamu semasa kamu berhadapan dengan kaummu.”

Rasulullah menjawab: “Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Lalu Jibril berkata: “Telah benarlah mereka yang menamakan kamu sebagai berhati lembut dan penuh kasih sayang.”

Kemudian Rasulullah meneruskan perjalanan pulang ke Mekah. Seperti biasa, Rasulullah akan membaca ayat-ayat suci al-Quran sepanjang perjalanan baginda.

Ketika Rasulullah melalui satu kawasan bernama Nakhlah, tedapat sekumpulan jin yang mendengar kalimah ayat al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah.

Mereka ialah jin yang menganut agama yang dibawa oleh Nabi Musa. Mereka mendengar ayat-ayat al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah dengan teliti dan berdiam diri.

Kemudian mereka kembali kepada kaum mereka yang memberitahu tentang kenabian Rasulullah. Allah Taala ada menyatakan tentang kumpulan jin ini dengan firmanNya dalam surah al-Jinn:

“Katakanlah wahai Muhammad, telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengar bacaan al-Quran, dengan itu mereka berkata, “Sesungguhnya kami telah mendengar al-Quran yang menakjubkan. Al-Quran yang memberikan petunjuk kepada jalan yang benar, oleh itu kami beriman dengannya. Dan kami tidak akan sesekali mempersekutui Tuhan kami dengan seorang pun..”(Surah al-Jin: 1-2)”   

Apabila Rasulullah mahu memasuki kota Mekah, pihak Qurasiy telah menghalang baginda. Pihak Quraisy telah mengetahui pemergian Rasulullah ke Taif untuk mendapakan bantuan penduduk Taif. Pihak Quraisy begitu marah.

Setelah berbincang, mereka tetap enggan membenarkan Rasulullah memasuki Mekah.

Lalu Rasulullah mengutuskan seorang utusan menemui Mut’am bin ‘Adi untuk memberitahunya bahawa Rasulullah meminta perlindungan Mut’am untuk memasuki Mekah.

Mut’am yang sudah lama mengenali keperibadian Rasulullah bersetuju dengan permintaan itu. Walaupun Mut’am bukanlah orang Islam, namun Mut’am seorang yang baik hati dan selalu berbuat baik kepada orang-orang Islam. Mut’am juga dihormati oleh pihak Quraisy.

Lalu Mut’am bersama anak-anaknya seramai enam orang membawa senjata mereka lalu mengiringi Rasulullah memasuki Mekah. Mereka menuju ke Kaabah.

Pihak Quraisy yang melihat Rasulullah bersama-sama Mut’am bertanya kepada Mut’am: “Wahai Mut’am, kamu mengiringi Muhammad atau kamu memberi perlindungan kepadanya?” Mut’am menjawab: “Aku memberikan perlindungan kepadanya.” Pihak Quraisy menjawab: “Perlindungan yang kamu berikan ini tidak akan sia-sia.” Lalu Rasulullah dapat mengerjakan tawaf dengan selamat tanpa sekatan dan gangguan daripada pihak Quraisy.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Template by:

Free Blog Templates