Aug 12, 2011

Ayahanda Meninggal Dunia: Si Anak Yatim

Ayahanda Meninggal Dunia: Si Anak Yatim


Empat tahun Nabi Muhammad s.a.w. tinggal bersama ibu susuannya di Taif. Selepas itu, Halimah dan suaminya memulangkan Nabi Muhammad s.a.w. kepada Aminah.

Aminah menerima kembali anaknya yang diserahkan oleh Halimah. Dia mendakap dan mencium Nabi Muhammad s.a.w. dengan penuh kasih sayang.

Lebih kurang setahun Nabi Muhammad s.a.w. bersama-sama ibunya Aminah di Mekah. Aminah tergerak hati hendak menziarahi kubur suaminya di Madinah. Aminah bersama-sama Ummu Aiman pergi membawa Nabi Muhammad s.a.w. ke sana. Mereka berangkat ke Madinah menunggang unta.

Aminah membawa Nabi Muhammad s.a.w. menziarahi kubur ayahnya supaya Nabi Muhammad s.a.w. mengetahui di mana letaknya kuburnya. Harapan Aminah, apabila Nabi Muhammad s.a.w. besar nanti, baginda akan selalu menziarahi kubur ayahnya itu.

Nabi Muhammad s.a.w. yang berumur lima tahun itu kuat dan sihat sepanjang perjalanan sejauh lebih kurang 450km itu.

Lebih menghairankan kedua-dua orang wanita itu dan rombongannya ialah awan hitam di langit. Awan itu sentiasa mengikuti Nabi Muhammad s.a.w. dan rombongan itu. oleh sebab itu, mereka sentiasa redup dalam perjalanan mereka.

Dalam perjalanan ke Madinah itu, mereka berhenti dan bermalam di beberapa buah tempat. Aminah juga menceritakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. akan hal ayahnya, Abdullah yang pergi berniaga di Syam tujuh tahun lalu.

Dia menceritakan bagaimana ayahnya ketika balik dan singgah di Madinah lalu jatuh sakit. Aminah juga menceritakan siapa yang menjaga ayahnya sewaktu dia sakit.

Apabila Aminah dan rombongannya sampai ke Madinah, sanak saudaranya daripada Bani Najjar menyambut mereka dengan gembira. Aminah dan rombongannya disediakan sebuah rumah, temapt tinggal sementara di Madinah.

Selama sebulan Aminah dan Nabi Muhammad s.a.w. tinggal di Madinah. Dalam tempoh itu, beberapa kali Aminah membawa Nabi Muhammad s.a.w. menziarahi kubur bapanya. Mereka juga mengunjungi sanak saudara mereka.

Setelah  sebulan, Aminah , Nabi Muhammad s.a.w.  ,Ummu Aiman dan rombongan di Madinah, mereka bersiap pula hendak balik ke Mekah.Sebelum bertolak, sekali lagi Aminah membawa Nabi Muhammad s.a.w. melawat kubur ayahnya.

Tatkala mereka sampai di Abwaa iaitu tempat yag hampir dengan Mekah, Aminah ditimpa sakit. Dengan kehendak Allah s.w.t.  Aminah meninggal dunia di Abwaa. Mayatnya dikebumikan disitu juga.

Ketika ibunya meninggal dunia, umur Nabi Muhammad s.a.w. enam tahun. Betapa sedihnya baginda menghadapi saat itu. kematian ibunya berlaku di hadapan  matanya.baru setahun lebih bersama-sama ibu, tiba-tiba ibu yang dikasihi meninggal dunia.

Dengan rasa kasih sayang, Ummu Aiman mengambil alih tugas menjaga Nabi Muhammad s.a.w. . Beberapa hari selepas kematian di Mekah, hal itu diceritakan kepada Abdul Mutalib.

Abdul Mutalib menerima berita kematian menantunya itu dengan tenang. Walaupun rasa sedih, Abdul Mutalib melawannya dengan tenang dan sabar.

Setelah kematian ibunya itu, nabi tinggal bersama datuknya Abdul Mutalib. Abdul Mutalib memelihara baginda dengan penuh kasih sayang.

Namun datuknya sempat memanjakan baginda hanya dalam tempoh dua tahun sahaja.Sekali lagi Nabi Muhammad s.a.w. kehilangan orang yang dikasihinya apabila  Abdul Mutalib meninggal dunia.

Menurut wasiat Abdul Mutalib semasa hayatnya, Nabi Muhammad s.a.w. handaklah dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.

Keberkatan yang ada pada diri Nabi Muhammad s.a.w. bakal utusan Allah s.w.t. itu telah mengubah corak kehidupan Abu Talib dan sesiapa sahaja yang mendampingi baginda.seperti keluarga Halimah, keluarga Abu Talib yang miskin itu telah menjadi senang.


1 comments:

Unknown said...

Hebatnya ALLAH. Corak kehidupan manusia adalah dari Allah...Harap dpt keberkatan dan kekuatan seperti Baginda Rasullullah SAW

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Template by:

Free Blog Templates