Sep 7, 2011

Rasulullah s.a.w. Berniaga

TAJUK 5: Rasulullah s.a.w. Berniaga

 Nabi Muhammad tidak mewarisi sedikit pun harta daripada bapanya Abdullah. Malah, semasa hidup bersama Halimah di perkampungan Bani Saad, Nabi Muhammad sudah pun menggembala kambing bersama anak Halimah untuk mencari rezeki meringankan tanggungan keluarga Halimah yang ramai itu. Bahkan, apabila baginda kembali ke Mekah pun, baginda masih lagi menggembala ternakan penduduk Mekah untuk mendapatkan sesuap nasi. 

Pada usia 8 tahun Abdul Muttalib meninggal dunia. Setelah kematian datuknya, Nabi Muhammad s.a.w. tinggal bersama-sama bapa saudaranya Abu Talib. Abu Talib sangat sayang kepada Nabi Muhammad s.a.w. melebihi anaknya sendiri. Abu Talib sering menitiskan air mata mengenangkan nasib Muhammad yang tidak berbapa dan tidak beribu.

Justeru, Abu Talib dengan penuh rasa kasihan belas dan tanggungjawab sebagai sebagai bapa saudara, membawa Muhammad tinggal bersama beliau. Abu Talib mengasuh Nabi Muhammad dengan sebaik-baik asuhan, budi pekerti dan adab yang terpuji.

Abu Talib mempunyai anak seramai 12 orang. Namun, kedatangan Muhammad ke dalam keluarganya tidak sedikit pun dirasakan membebankannya walaupun kadang-kadang Abu Talib menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan keluarganya yang ramai itu.

Semenjak Abu Talib memelihara Nabi Muhammad s.a.w., rezeki Abu Talib dan keluarganya diberkati Allah s.w.t.. Abu Talib percaya rezekinya murah dan bertambah kerana memelihara Nabi Muhammad s.a.w..

Menyedari nasib diri, Muhammad dengan rela hati tinggal bersama keluarga bapa saudaranya itu. Anak-anak Abu Talib menerima Muhammad seperti adik-beradik mereka sendiri.

Mereka melayan Muhammad dengan baik dan segala kemudahan dikongsi dengan Muhammad. Muhammad amat gembira dengan kehidupan barunya itu kerana sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa rindu kepada suasana hidup berkeluarga.

Abu Talib seorang ahli perniagaan. Ketika Nabi Muhammad s.a.w. berumur 12 tahun, Abu Talib dan kafilahnya berangkat ke Syam. Dia lalu menyampaikan hajatnya itu kepada Abu Talib.

“Wahai pakcikku, alangkah bahagianya diriku jika pakcik dapat membawa saya bersama pakcik berniaga ke Syam. Ingin sekali saya melihat bagaimana pakcik berniaga”. Ujar Muhammad dengan wajahnya penuh bercahaya kerana kegembiraan dan pengharapan.

Abu Talib pada mulanya keberatan kerana Muhammad baru berusia 8 tahun, sedangkan perjalanan dagang itu amat jauh. Abu Talib khuatir jika Muhammad tidak berdaya menanggung kepayahan perjalanan itu.

“Anakku, pakcik amat keberatan sekali untuk membawamu bersama kerana dikau masih kecil. Kafilah dagang pakcik akan melewati perjalanan yang jauh, merentasi padang pasir yang panas dan memeritkan. Sudah pasti dikau akan keletihan dan tenagamu tidak akan mampu menanggung kepayahan itu wahai anakku.” Namun, setelah beberapa kali diajukan permintaan itu, Abu Talib pun menyetujui permintaan Muhammad.

Lalu Abu Talib membawa Muhammad bersamanya dengan berkata: “Demi Allah, aku akan membawa Muhammad bersamaku, aku takkan berjauhan daripadanya dan dia tidak akan berjauhan denganku selama-lamanya.” Begitulah gambaran kasih sayang Abu Talib kepada Muhammad.

Abu Talib sendiri kagum dengan kesungguhan dan keberanian si anak yatim Muhammad itu. Abu Talib percaya, kesusahan hidup tanpa ayah dan ibu menjadikan Muhammad seorang anak yang berjiwa kental, sabar, tidak meminta-minta, tahan ujian dan suka berdikari.

Kafilah dagangan terlah berhenti rehat di tempat bernama Busra di negeri Syam. Di tempat itu tinggal seorang rahib bernama Buhaira di satu tempat ibadat Nasrani. Buhaira antara paderi yang dihormati dan dikenali dengan kealiman dan ketinggian ilmu agamanya. Dan adalah menjadi adat penduduk kawasan tersbeut memuliakan tetamu yang berhenti rehat, lalu Buhaira melayan kafilah Abu Talib sebagai tetamunya.

Buhaira telah mengadakan jamuan makan untuk tetamunya itu. Buhaira mendapati ada bayang yang memayungi Muhammad. Bayang itu mengikuti kemana sahaja Muhammad berjalan. Lalu Buhaira mendapat ilham bahawa itu adalaha tanda kenabian. Lalu Buhaira menjemput kesemua ahli kafilah ke majlis jamuannya. 

Buhaira berkata: "Aku amat gembira jika kesemua kamu hadir ke majlisku. Pada mulanya Muhammad tidak ikut serta kerana baginda masih kanak-kanak. Menyedari ketiadaan Muhammad, Buhaira berkata: Wahai Quraisy: Datanglah kesemua kamu ke majlisku ini, janganlah ada yang tidak hadir." 

Lalu mereka berkata: "Semua kami telah datang kecuali seorang kanak-kanak. Dia terlalu muda untuk mengikut kami." 

Buhaira menyuruh mereka membawakan Muhammad ke majlisnya, setelah Muhammad dibawa kepadanya, Buhaira telah mendudukkan Muhammad di sebelahnya dan melayan Muhammad dengan baik. Buhaira telah menanyakan Muhammad tentang banyak perkara, perkara khusus dan umum. Muhammad menjawab pertanyaan Buhaira dengan tenang. Buhaira gembira dengan jawapan yang diberikan Rasulullah. Maka benarlah dengan apa yang diketahuinya tentang kenabian yang akan muncul dari keturunan Ismail bin Ibrahim, sebagaimana yang terdapat pada belakang baginda dan cop kenabian akhir zaman pada belikat baginda. 

Buhaira bertanya: Siapakah anak ini kepada kamu?
Abu Talib menjawab: Dia anakku!
Buhaira: Dia bukan anakmu, dan tidak mungkin dia mempunyai ayah.
Abu Talib: Dia ialah anak saudaraku!
Buhaira: Mana ayahnya?
Abu Talib: Ayahnya telah meninggal dunia dan ibunya juga.
Buhaira berpesan: Bawalah anak saudaramu ini pulang ke negerinya, dan hendaklah engkau mengawasinya daripada golongan Yahudi. Demi Allah, jika golongan melihat Muhammad, mereka akan mengenalinya, Yahudi akn berbuat jahat terhadap anak saudaramu itu kerana anak saudaramu itu seorang utusan agung. Bersegeralah kamu membawanya pulang.”

Lalu Abu Talib pun segera membawa Muhammad pulang ke Mekah. Berlalu nenerapa tahun sehinggalah Muhammad meningkat remaja. Sebagai anak yatim piatu, baginda melakukan semua kerja yang boleh dilakukannya sendiri tanpa terlalu mengharapkan ihsan Abu Talib.

Di usia mudanya, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengusahakan perniagaan sendiri serta berkongsi dengan seorang saudagar kecil bernama As-Saa’ib bin Abi As-Saa’ib. As-Saaib seorang peniaga yang baik, jujur dan amanah. Mauhmaad pernah berkata: “Rakan kongsi yang paling baik ialah as-Saaib. Dia termasuk dikalangan mereka yang dijinakkan hati dan beliau lebih baik setelah memeluk Islam.” Inilah pekerjaan nabi sehingga baginda berusia lebih dua puluh tahun.


 Pada usia Muhammad 24 tahun, Abu Talib merasakan Muhammad sudah cukup dewasa untuk berumahtangga. Namun kedudukan kewangan Abu Talib dan Muhammad tidak mencukupi untuk Muhammad berkahwin. Abu Talib berusaha mencari peluang pekerjaan untuk Muhammad.

Suatu hari, Abu Talib berkata kepada anak saudaranya ‘Atiqah, “Muhammad sudah pun berusia dua puluh empat tahun. Sewajarnya dia sudah berumahtangga, akan tetapi dia tidak mempunyai perbelanjaan untuk itu. Jadi, adalah baik jika kita mencarikan beliau suatu pekerjaan yang boleh dia pergunakan untuk menampung hidupnya.”

Lalu dijawab oleh ‘Atiqah: “Khadijah puteri Khuwailid termasuk orang kaya di kalangan Quraish. Kegiatan perdagangannya sampai ke Mesir dan Ethiopia. Dia sedang mencari orang yang jujur untuk menguruskan perdagangannya dan membawa barang dagangannya dalam kafilah Quraish untuk dijual di Syria. Dia pula seorang yang bermurah hati dengan pekerja-pekerjanya. Alangkah bagusnya jika Muhammad memohon pekerjaan kepadanya.”

Cadangan ‘Atiqah itu dipersetujui oleh Abu Talib.  Keluhuran budi dan kemuliaan rohani nabi mencegahnya untuk memohon secara langsung tanpa perkenalan terlebih dahulu dan tanpa tawaran dari Khadijah sendiri.

Maka baginda menjawab, “Tidak salahnya apabila Khadijah mengirim orang menghubungi saya.” Nabi berkata demikian kerana tahu bahawa dirinya cukup dikenali masyarakat sebagai ‘orang jujur’ ( Al-Amin).

Sifat amanah, sentiasa benar, sentiasa benar dan bijaksana yang ada pada Nabi Muhammad s.a.w. itu menarik hati seorang ahli perniagaan bernama Khadijah Binti Khuwailid.

Khadijah ingin benar  barang dagangan miliknya diniagakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Pada masa itu, orang Arab Mekah berniaga ke Syam pada musim sejuk dan ke Yaman pada musim panas.

Ketika Khadijah mendengarkan nama “Muhamamad”, hatinya berbunga keriangan. Khadijah berfikir dalam hatinya: “Oh... inilah takbir mimpiku sebagaimana yang diramalkan oleh Waraqah bin Naufal, bahawa ia dari suku Quraisy dan dari keluarga Bani Hasyim, dan namanya Muhammad, orang terpuji, berbudi pekerti tinggi dan nabi akhir zaman.” Seketika itu juga timbullah hasrat di dalam hatinya untuk bersuamikan Muhammad, tetapi tidak dilahirkannya kerana khuatir akan menimbulkan fitnah.

“Baiklah,” ujar Khadijah kepada ‘Atiqah, “Saya terima Muhammad dan saya berterima kasih atas kesediaannya. Semoga Allah SWT melimpahkan berkatnya atas kita bersama.”. Wajah Khadijah cerah, tersenyum sopan, menyembunyikan apa yang tersudut di kalbunya.

Kemudian ia meneruskan: “Wahai ‘Atiqah, saya tempatkan setiap orang dalam rombongan niaga dengan penghasilan tinggi, dan bagi Muhammad SAW akan diberikan lebih tinggi dari biasanya.”

‘Atiqah berterima kasih, ia pulang dengan perasaan gembira menemui saudaranya, menceritakan kepadanya hasil perundingannya dengan wanita hartawan dan budiman itu. Abu Thalib menyambutnya dengan gembira.

Kedua bersaudara itu memanggil Muhammad SAW seraya berkata: “Pergilah anakanda kepada Khadijah r.a, ia menerima engkau sebagai pekerjanya. Kerjakanlah tugasmu sebaik-baiknya.”

Muhammad SAW menuju ke rumah Khadijah. Semasa baginda keluar dari pekarangan rumah bapa saudaranya, tiba-tibalah ia mencucurkan air mata kesedihan mengenang nasibnya. Tiada yang menyaksikannya dan menyertainya dalam kesedihan hati itu selain para malaikat langit dan bumi.

Satu kafilah Quraish termasuk barang dagangan Khadijah bersedia untuk bertolak. Khadijah menyerahkan seekor unta yang cergas, sejumlah barang yang mahal dan dua orang pembantu kepada Nabi Muhammad s.a.w. sambil memerintahkan mereka mematuhi nabi dalam segala hal dan tidak boleh membantah serta benar-benar tunduk kepadanya.

Dalam perjalanan yang jauh itu, orang-orang suruhan Khadijah memerhatikan Nabi Muhammad s.a.w.. Mereka mendapati Nabi Muhammad s.a.w. yang muda belia itu terlalu baik perangainya, bersopan santun dan berbudi bahasa. Belum pernah mereka bertemu orang muda sebegitu baik.

Mereka juga menyedari sekelompok awan hitam di angkasa sentiasa bergerak ke mana sahaja Nabi Muhammad s.a.w. bergerak. Dia sentiasa dalam teduhan awan hitam itu daripada panas matahari yang terik.mereka yakin Muhammad Al-Amin itu bukan sebarangan orang.

Apabila sampai ke Syam, semua dagangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. habis dijual.baginda membeli pula barangan untuk didagangkan di Mekah. Orang-orang suruhan Khadijah juga  menyaksikan cara Nabi Muhammad s.a.w. melayan pembeli-pembelinya. Mereka dilayan dengan lemah lembut dan tutur kata yang manis. Mereka juga menyaksikan timbang dan sukat yang dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w. betul dan tepat. Orang-orang suruhan Khadijah itu amat gembira melihat semua itu.

Kepulangan Nabi Muhammad s.a.w. yang berdagang ke Syam itu membawa keuntungan besar. Belum pernah perniagaan Khadijah memperolehi keuntungan seperti itu. rombongan Nabi Muhammad s.a.w. amat gembira dengan kejayaan kali ini.

Kafilah kembali ke Mekah. Dalam perjalanan pulang melewati negeri Thamud, nabi teringat akan saat-saat bersama bapa saudaranya melintasi gurun pasir itu.

Ketika kafilah Quraish hampir tiba di Mekah, seorang hamba iaitu Maisarah berkata kepada nabi, “Alangkah baiknya jika tuan memasuki Mekah mendahului kami dan melaporkan kepada Khadijah tentang perdagangan dan keuntungan besar yang kita perolehi tahun ini.”

Nabi Muhammad s.a.w.  pergi ke rumah Khadijah. Dari luar kawasan rmah, Khadijah nampak Nabi Muhammad s.a.w. menunggang unta dan barang dagangannya yang dibawa oleh unta. Apabila sampai ke rumah, Khadijah menyambut nabi dengan penuh hormat dan kemuliaan.

Nabi Muhammad s.a.w. menceritakan dari awal hingga akhir tentang perjalanan dan perniagaannya di Syam itu kepada Khadijah. Wanita itu amat tertarik hati mendengar cerita yang disampaikan dengan tutur kata yang lemah lembut, petah dan bersemangat itu.

Ketika Nabi Muhammad s.a.w. hendak balik kerumahnya, Khadijah telah membahagikan keuntungan perniagaan yang diusahakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Sejak kecil lagi baginda sudah hidup dalam kesederhanaan. Jadi, pemberian keuntungan yang diberi oleh Khadijah itu diterimanya sekadar cukup belanja dan usahanya menjalankan perniagaan itu. sebahagiannya dipulangkan kepada Khadijah.

Khadijah bertambah tertarik hati dengan kemuliaan budi dan kejujuran Nabi Muhammad s.a.w.. Selama ini dia hanya mendengar dari jauh segala kebaikan, kejujuran dan kebenaran Nabi Muhammad s.a.w..

Sekarang jelaslah di hadapan matanya sendiri, bahawa Muhammad Al-Amin itu memang mempunyai sifat-sifat yang mulia dan tinggi.

Setelah Nabi Muhammad s.a.w. pulang ke rumah bapa saudaranya Abu Talib, orang-orang suruhan Khadijah yang mengikut nabi Muhammad s.a.w. ke Syam telah menceritakan pengalaman mereka bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w. ketika perjalanan pergi dan balik itu.

Mereka menceritakan juga segala keajaiban yang mereka saksikan, terutama tentang awan hitam di angkasa itu. Khadijah bertambah tertarik hati apabila mendengar cerita itu.






0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Template by:

Free Blog Templates