Tanah Arab Sebelum Kelahiran Rasulullah SAW
Pada zaman dahulu, semenanjung tanah Arab didiami oleh pelbagai suku kaum. Sebahagiannya telah lenyap dalam perjalanan waktu. Namun begitu, dalam sejarah negeri itu, terdapat tiga kelompok suku yang mencapai kemasyhuran lebih besar daripada yang lain.
Suku yang pertama ialah Ba’idah. Ia di namakan Ba’idah yang bererti lenyap kerana suku ini telah lenyap dari muka bumi. Mereka telah ditimpa bencana dari langit dan bumi kerana penderhakaan mereka yang berterusan kepada Allah SWT. Mungkin mereka itulah suku ‘Ad dan Tsamud yang disebut berkali-kali dalam Al-Quran.
Manakala suku yang kedua pula ialah Qahtani. Kaum ini adalah keturunan Ya’rab bin Qahtan. Mereka tinggal di Yaman dan di Selatan Arab dan dikenali sebagai “orang Arab murni”. Suku Aus dan Khazraj merupakan orang Yaman sekarang dan merupakan dua suku besar di Madinah pada masa awal Islam berketurunan Qahtar.
Orang Qahtar memiliki banyak negara dan berusaha keras membangunkan Yaman. Mereka juga telah meninggalkan hasil peradaban sebagai kenangan. Antaranya ialah seperti monumen ataupun bekas peninggalan mereka yang sedang dikaji secara ilmiah, sehingga sejarah Qahtan telah terungkap sebahagiannya.
Suku Adnani pula merupakan keturunan Nabi Ismail putera Nabi Ibrahim. Menurut sejarah, Nabi Ibrahim telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. untuk menghantar puteranya Ismail dan isterinya Siti Hajar ke tanah Mekah.
Baginda kemudiannya memindahkan mereka dari Palestin ke suatu lembah di Mekah yang benar-benar tandus. Allah S.W.T. Yang Maha berkuasa telah memberi nikmat kepada mereka iaitu berupa air mata zamzam.
Nabi Ismail kemudian berkahwin dengan suku Jarham yang membina khemah berhampiran Mekah. Keturunannya berkembang dan salah seorang daripadanya ialah Adnan, beberapa generasi selepas Ismail.
Daripada keturunan Adnan ini terbahagi pula kepada beberapa suku. Suku yang termasyhur ialah suku Quraisy dan Bani Hasyim merupakan salah satu daripada keturunan suku ini.
Orang Arab sebelum Islam
Perkataan “Jahiliyyah” adalah sebuah kata dalam bahasa Arab yang berasal daripada kata dasarnya “Jahl” (Jahlun) yang bererti “Tidak tahu”. Manakala kata “Jahiliah” dari segi bahasa bererti “Ketidaktahuan” atau “keadaan tidak tahu”.
Menurut pengertian sejarah, kata “Jahiliyyah” bermaksud “Keadaan atau suasana umat manusia, khasnya umat Arab sebelum Islam atau sebelum Rasulullah S.A.W menjadi Rasul”.
Umat Arab sebelum Islam disebut kaum “Jahiliyyah” kerana pada masa itu mereka tidak mempunyai pedoman atau panduan dalam beragama.
Masa atau tempoh itu juga disebut sebagai Zaman Fatrah yang bererti “Zaman Keputusan Wahyu” kerana Nabi Isa a.s telah diangkat oleh Allah S.W.T. ke sisi-Nya, sehinggalah tibanya saat atau ketika Nabi Muhammad s.a.w. menjadi nabi.
Umat Arab pada masa itu hidup dalam zaman kegelapan dari semua aspek. Ini merangkumi aspek agama, sosial, politik, ekonomi, ilmu pengetahuan dan kebudayaan. Mereka juga mempunyai nilai hidup yang rendah, liar dan tanpa berperikemanusiaan.
Dari segi agama dan kepercayaan, masyarakat Arab di zaman Jahiliyyah menganut agama berbentuk syirik iaitu menyengutui Allah S.W.T iaitu menyembah selain daripada Allah. Mereka juga mempunyai banyak agama dan pelbagai kepercayaan. Ini amat berbeza sekali dengan agama tauhid yang di bawa oleh Allah S.W.T. Keadaan ini disebabkan oleh pelbagai faktor.
Faktor hubungan merupakan salah satu faktor yang meyebabkan mereka menganut pelbagai agama dan kepercayaan, Umat Arab terutamanya di kawasan pendalaman tidak banyak berhubung atau berkomunikasi dengan dunia luar. kehidupan mereka hanya di dalam lingkungan yang terhad dan tertutup kepada bangsa-bangsa luar.
Keadaan ini menyebabkan mereka amat sukar untuk menerima pembaharuan dan meninggalkan keadaan primitif mereka iaitu menyembah alam, jin dan dewa.
Faktor kedua ialah faktor Kota Mekah itu sendiri. Kota Mekah di mana di dalamnya terdapat Kaabah (Baitullah) yang melahirkan agama-agama Samawi iaitu agama langitan seperti agama Hanif peninggalan Nabi Ibrahim.
Selain itu, kota ini juga berperanan sebagai pusat keagamaan dan kebudayaan orang-orang Arab dan melahirkan agama menyembah berhala, menyembah malaikat sebagai anak perempuan Allah dan sebagainya.
Selain itu, faktor kejiranan juga merupakan penyebab kepada kepelbagaian agama dan kepercayaan masyarakat Arab di zaman Jahiliyyah. Kedudukan Tanah Arab yang terbatas atau berjiran dengan negara yang mempunyai sifat menjajah negara-negara luar menjadikan daerah-daerah perbatasannya di sebelah utara menganut Agama Yahudi dan Kristian.
Manakala di selatan pula iaitu daerah-daerah yang berhampiran dengan Parsi menganut agama Majusi yang menyembah dan memuja api.
Bentuk muka bumi juga menjadi salah satu faktor masyarakat Arab di zaman Jahiliyyah menganut pelbagai agama dan kepercayaan. Bentuk muka buminya yang berpadang pasir dan menerima hujan yang sedikit serta mempunyai sedikit lembah (wadi) telah membawa kepada sebahagian daerah pendalaman menyembah tumpukan pasir iatu tempat unta berdiri semasa diperah susu.
Mereka juga telah menyembah bintang kerana mempercayai bahawa peredaran bintang-bintang tertentu menyebabkan turunnya hujan. Terdapat juga sebahagian daripada mereka menyembah buah tamar yang terlebih dahulu dibuat patung atau berhala.
Di samping itu, faktor masa juga memainkan peranan penting dalam kehidupan beragama masyarakat Jahiliah. Ada di kalangan mereka yang menggunakan kebebasan berfikirnya tanpa pedoman wahyu, tidak ingin terlibat dengan kepercayaan-kepercayaan lalu mempercayai bahawa semuanya tidak ada apa-apa dan apa yang terjadi adalah peranan masa dan mengganggap mereka anak masa dan mangsanya.
Manakala dari aspek sosial pula, masyarakat Arab di zaman Jahiliyyah mengamalkan pergaulan bebas. Hubungan di antara kaum berlainan jenis adalah secara hawa nafsu dan tanpa perikemanusiaan. Masyarakatnya juga hidup dalam kucar-kacir, musuh-memusuhi dan saling bertentangan pendapat. Golongan yang kaya pula menindas golongan yang miskin dan golongan yang kuat menindas golongan yang lemah. Perhambaan dalam masyarakat juga berleluasa.
Jika dilihat dari segi akhlak pula, kita tahu bahawa masyarakat Arab Jahiliyyah mempunyai tabiat yang buruk dan kadang-kadang kejam. Walaupun begitu, mereka juga mempunyai akhlak yang mulia dan terpuji. Antara akhlak-akhlak mulia itu ialah:
1. Pemurah:
Masyarakat Arab Jahiliyyah sering berlumba-lumba untuk mempamerkan sikap pemurah. Diceritakan bahawa jikalau tetamu yang datang itu kelaparan, tuan rumah sanggup meyembelih untanya untuk diberikan kepada tetamu jikalau itu walaupun tuan rumah itu juga seorang yang miskin. Mereka juga menganggap melakukan judi merupakan satu sifat pemurah. Ini kerana, merea akan memberi makan kepada orang-orang miskin dari hasil keuntungan judi atau yang menang judi.
2. Menunai Janji:
bagi orang Arab, perjanjian adalah seperti agama yang perlu dipegang kemas. Mereka sanggup mengabaikan kepentingan diri mereka sendiri asalkan janji yang mereka buat dikotakan atau ditunaikan.
3. Berbangga dengan diri sendiri dan tidak sanggup dihina dan dizalimi:
Sikap ini akan menyebabkan masyarakat Arab Jahiliyyah mempunyai keberanian dan sifat cemburu yang melampau. Mereka pantang mendengar diri mereka dihina. Jika diri mereka dihina, mereka akan segera bangun untuk berperang. Demi menjaga kemuliaan diri, mereka sanggup mengorbankan jiwa mereka.
4. Tekad dan keazaman yang kuat:
Apabila mereka berazam untuk melakukan sesuatu yang mulia dan dapat dibanggakan, mereka akan berusaha supaya dapat apa yang mereka ingini. Mreka juga sanggup ambil risiko demi untuk mendapat apa yang diazamkan.
Jika dilihat dari segi politik pula, mereka mengamalkan ketua-ketua kabilah atau kaum. kabilah atau suku yang kuat akan menguasai suku yang lemah. Kekuasaan merupakan peluang untuk membolot kepentingan bagi diri sendiri (pemerintah) dan keluarga dan bukan untuk kepentingan rakyat.
Pada waktu itu tidak wujud lagi negara kerana mereka tidak mempunyai permuafakatan dalam masyarakat iaitu masyarakat dalam keadaan berpecah belah. Mereka juga tidak mempunyai undang-undang yang memelihara hak-hak asasi rakyat dan kesejahteraan mereka.
Dari aspek ekonomi pula, mereka telah mengusahakan pertanian dan perdagangan. Kegiatan yang wujud daripada pertanian dan perdagangan bukan digunakan untuk tujuan yang suci, tetapi sebaliknya untuk tujuan memperkuatkan kabilah atau golongan sendiri.
Mereka juga mengusahakan perdagangan dan pertanian untuk mengumpulkan harta benda bagi memperkuatkan kekuatan menentang musuh dan membalas dendam.
Aktiviti perniagaan yang dijalankan adalah melalui perdagangan. Perdagangan pula dijalankan hanya aktif pada bulan-bulan tertentu sahaja iaitu di dalam bulan haram. Ini kerana pada bulan haram semenanjung tanah Arab berada dalam keadaan aman damai. Maka mudahlah untuk menjalankan aktiviti perniagaan. Bulan haram merupakan bulan yang diharamkan berperang. Pasar-pasar yang aktif pada bulan ini adalah seperti Ukaz, Zilmajaz, Majannah serta lain-lain lagi.
Selain itu, mereka juga terlibat dengan amalan riba dan menindas golongan miskin dengan mengenakan bunga wang yang berlipat ganda. Pada masa itu, orang yang mempunyai banyak harta bererti mempunyai kedudukan yang mulia dan tinggi.
Ilmu pengetahuan masyarakat Arab Jahiliyyah pula berbentuk ramalan dan persangkaan. Kitab-kitab samawi seperti Taurat, Zabur dan Injil sudah tidak asli lagi.
Jika dilihat dari aspek ilmu pengetahuan umum, orang Arab mempunyai pengetahuan yang menyeluruh dari segi ilmu bintang, Astronomi (nujum), ilmu bahasa dan pidato, pertanian, perniagaan, pertukangan, seni bina, seni ukir dan juga ilmu kedoktoran dan perubatan. Tetapi semuanya hanya digunakan untuk memenuhi cara hidup Jahiliyyah.
Jika dilihat dari segi kebudayaan pula, masyarakat Arab Jahiliyyah mempunyai kebudayaan pelbagai ragam. Keadaan ini disebabkan oleh sistem sosial mereka yang hidup bersuku-suku atau berkabilah. Tiap-tiap suku membanggakan apa yang ada pada mereka.
Pada waktu itu mereka telah memiliki bahasa yang fasih dan mempunyai puisi yang tinggi nilai kesusasteraannya. Kebudayaan yang beraneka dalam pelbagai bentuk dan kepentingan dapat dilihat terutamanya pada musim haji, di sekitar Kaabah, Arafah dan Mina. Ia juga dapat dilihat di pasar-pasar tahunan seperti ‘Ukaadz, Al-Majannah dan sebagainya.
0 comments:
Post a Comment