Jul 24, 2011

Memilih sahabat

Memilih Sahabat



Sahabat memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seseorang individu. Sahabat umpama dua belah tangan, saling bersih membersihkan antara satu sama lain. Jalinan persahabatan yang baik akan membuahkan sikap  saling tolong menolong, hormat menghormati antara satu sama lain sama ada dalam keadaan senang atau susah.

Adapun persahabatan yang tidak jujur umpama meniti buih di lautan. Hamparan buih yang  memutih, hanya indah di luaran, namun sebenarnya, ia  menuju ke jurang kehancuran. Mencari sahabat sejati bukanlah mudah.ini kerana ramai yang suka  berkongsi gembira, namun kurang yang ingin menemani kita meniti duka.

Dalam memilih sahabat kita perlulah berhati-hati ini kerana ia akan mempengaruhi seseorang dalam proses pembentukan diri. Rasulullah s.a.w bersabda :-
المرء على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل
Maksudnya:-“Seseorang itu bergantung kepada agama sahabatnya.Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan.”

Hadis ini menunjukkan bahawa seseorang itu akan mudah terikut-ikut dengan tingkahlaku dan perbuatan sahabatnya.  Justeru itu pemilihan sahabat perlu dititik beratkan, sekiranya kita silap memilih kawan ,maka ia akan membawa kemudharatan kepada diri sendiri.

Oleh itu, bagaimanakah cara untuk kita memilih sahabat dan apakah kriteria-kriteria yang perlu ada pada seseorang yang akan kita jadikan sahabat itu?

Sebenarnya, Perkara utama yang harus di ambil kira ialah memilih sahabat yang mempunyai budi pekerti yang mulia. Elakkan diri dari bersahabat dengan orang jahil, malas, buruk akhlak, rasuah, kikir dan sebagainya:

Kita juga tidak digalakkan berkawan dengan orang yang fasik yang mempertahankan kefasikannya, tidak mahu bertaubat dan tidak mengendahkan nasihat orang lain supaya mengubah sikapnya.Allah s.w.t berfirman :-
فأعرض عمن تولى عن ذكرنا ولم يرد إلا الحياة الدنيا-النجم: 29


Maksudnya:-“Maka berpalinglah engkau daripada orang yang tidak mempedulikan peringatan kami dan ia hanya menginginkan kehidupan dunia semata-mata”.
Daripada ayat ini juga dapat kita fahami bahawa Allah s.w.t juga melarang kita daripada bersahabat dengan orang yang terlampau mementingkan hal keduniaan. Sememangnya sudah ternyata bahwa tabiat manusia selalu meniru tabiat rakannya tanpa disedari oleh diri sendiri.

Justeru itu bercampur gaul dengan orang yang amat mementingkan hal keduniaan semata-mata akan menarik hati kepada sifat tamak dan sayangkan dunia.Begitu juga bercampul gaul dengan orang yang mementingkan hal-hal keakhiratan, ia akan menarik hati kita kepada cintakan agama dan kebaikan. Jadi tidak hairanlah kenapa Allah s.w.t menyuruh kita berpaling dari pencinta dunia bahkan kita hendaklah mengikut jejak orang yang ingin kembali ke jalannya yang sebenar.

Luqmanul hakim  berpesan kepada puteranya:”Wahai anakku, Dampingilah para ulama’dan hubungkanlah kedua lututmu dengan mereka, kerana hati itu akan menjadi hidup dengan diresapi hikmat, sebagaimana bumi yang mati itu akan hidup semula dengan diresapi air hujan.”

Kesimpulannya, kita mestilah bijak dalam memilih sahabat. Semoga kita akan mengecapi nikmat kebahagiaan yang hakiki, kepuasan jiwa yang tidak terperi hasil daripada persahabatan yang sejati.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Template by:

Free Blog Templates