Kisah Bismillah : Tangan Si Gadis, tangan Si Arab dan tangan Si Syaitan
Kisah ringkas ini diceritakan oleh salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Huzaifah bin Yaman. Huzaifah berkata bahawa pada suatu hari ketika mereka berada bersama Rasulullah SAW dalam suatu majlis. Mereka sedang bersiap-siap mahu menjamah makanan tengahari.
Sebelum mereka makan, tiba-tiba mereka melihat seorang gadis datang dari satu arah. Si gadis berlari dengan cepat dan mendatangi mereka. Si Gadis duduk bersama mereka dan mahu turut sama menjamah makanan. Tatkala Si Gadis menghulurkan tangannya mahu menjamah makanan, Rasulullah menegahnya menjamah makanan itu...
Pada ketika itu juga mereka melihat seorang lelaki Arab turut datang kepada mereka, dan duduk untuk menjamah makanan bersama mereka. Lelaki tersebut menghulurkan tangannya untuk menjamah makanan, namun sekali lagi Rasulullah SAW menegahnya.
Rasulullah SAW menceritakan kepada sahabat baginda apa sebenarnya yang berlaku. Baginda berkata bahawa si gadis itu telah dihantar oleh syaitan kerana si gadis tidak membaca Bismillah apabila mahu menjamah makanan. Justeru, mustahil syaitan berjaya menjamah makanan itu.
Apabila Rasulullah SAW menegah si gadis itu, maka syaitan telah menghantar si Arab untuk melakukan perkara serupa..
Sesungguhnya tangan syaitan menyamai tangan si gadis dan tangan si Arab tadi.
Rasulullah berkata yang berbunyi:
إِذَا اَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ فَإِنْ نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ فِى أَوَّلِهِ، فَلْيَقُلْ ِبسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ
“Apabila kamu mahu makan, maka sebutlah nama Allah,
maka jika kamu terlupa menyebutnya pada awal,
maka katakanlah “Bismillahi awwalahu wa akhirahu”.
Dan apabila seseorang itu mahu memasuki rumahnya, maka sebutlah nama Allah, juga ketika dia makan. Sesungguhnya syaitan akan sedih dan berkata kepada kawan-kawannya: “Tiadalah tempat tidur bagi kamu kawanku, dan tiada makanan.” Ini adalah kerana kalimah Bismillah itu telah menjaga ahli rumah, dan memberi keberkatan pada makanan mereka, dan ditegah syaitan menghampiri mereka.”
***************
Bismillah...Ucaplah Bismillah apabila mahu melakukan apa jua pekerjaan. Bismillah adalah ucapan untuk mendekatkan diri kepada Allah, ucapkanlah ia pada setiap waktu, setiap amalan dan pekerjaan. Sesungguhnya melazimi menyebut perkataan Bismillah adalah contoh akhlak terpuji. Allah begitu menyukai amalan ini.
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap percakapan, atau setiap pekerjaan yang mahu kamu lakukan, tidak akan dipermudahkan kecuali disebut padanya Bismillah”.
2 comments:
bismillahirrahmanirrahim...
*selalu lupa. huhu..
bismillah..perkara simple tapi punya kuasa yang luar biasa kan
Post a Comment